Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon mahu skuad Harimau Malaya untuk beraksi di gelanggang keramat iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Menurut Pan-gon, SNBJ merupakan rumah bagi pasukan kebangsaan dan ianya merupakan kubu kuat kerana sentiasa dibanjiri oleh peminat setiap kali perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan.

Selain itu, sekiranya pasukan negara beraksi di Bukit Jalil, maka ianya akan memudahkan pergerakan penyokong dan juga pemain yang tidak perlu menempuh perjalanan jauh sekiranya beraksi di luar Lembah Klang.

“Berdasarkan tinjauan terkini bersama pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) semalam, kami mendapati bahawa keadaan padang adalah bertambah baik berbanding ketika Pestabola Merdeka, bulan lepas.

“Dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Lagipun untuk aksi bertemu Republik Kyrgyz ini hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Chinese Taipei untuk perlawanan kedua pada 21 November.

“Jadi harapan saya, perlawanan 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil dan saya juga menyeru para penyokong Harimau Malaya dapat datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita bagi memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” kata Kim Pan-gon.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: Scoop

Permukaan padang yang menggunakan rumput Zeon Zoysia menjadi sorotan ketika dua perlawanan Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu dimana ada beberapa bahagian padang yang tercabut.

Menurut TMJ, oleh kerana baru sahaja siap, padang itu sepatutnya diberikan lebih masa agar akar rumput menjadi kuat sebelum digunakan untuk aksi kompetitif seperti aksi Pestabola Merdeka.

“Padang tu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim. Tetapi national team nak pakai secepat mungkin. Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium.

“Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang kurangnya lagi 2 atau 3 bulan. Kontraktor ni kontraktor yang sama buat padang JDT,” katanya.